Azleyn74

Apabila melibatkan hati dan perasaan bolehkah ianya dibela???

Posted on: 11 Julai 2011

Hak wanita teraniaya

 

Apakah yang dimaksudkan dengan keganasan rumah tangga?

Srihartini: Keganasan rumah tangga ialah satu kekejaman yang berlaku dalam sesebuah rumah tangga. Ia bukan hanya berlaku antara suami isteri sahaja tetapi sesiapa sahaja yang tinggal bersama sebagai satu keluarga boleh berhadapan dengan situasi ini. Keganasan rumah tangga berlaku apabila terdapat kecederaan fizikal, didera secara seksual, meletakkan si mangsa sentiasa dalam keadaan ketakutan dan kesedihan.

Siapakah antara individu yang boleh menjadi mangsa keganasan rumah tangga

Srihartini: Kebiasaannya orang ramai lebih mengetahui bahawa keganasan rumah tangga hanya melibatkan suami isteri tetapi sebenarnya ia lebih luas kerana turut melibatkan beberapa individu lain seperti bekas isteri atau suami, anak-anak, ibu bapa, ahli keluarga yang tinggal serumah atau pembantu rumah. Oleh itu, masalah keganasan rumah tangga boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tanpa mengira status seseorang itu.

Apakah jenis-jenis keganasan rumah tangga yang berlaku?

Srihartini: Keganasan rumah tangga boleh dibahagikan kepada lima kategori iaitu, penderaan secara fizikal, emosi, spiritual, seksual dan mental. Setiap individu yang terlibat dalam keganasan rumah tangga sebenarnya terdedah kepada kelima-lima jenis keganasan ini.

Pada pandangan anda bagaimana pula situasi golongan wanita khususnya di Perak?

Srihartini: Sehingga kini masih tidak ada sebarang kes serius melibatkan keganasan rumah tangga. Kebanyakan yang datang ke sini sekadar untuk mendapatkan khidmat kaunseling bagi mencari jalan keluar terhadap permasalahan yang dihadapi. Bahkan ramai dalam kalangan mereka yang hadir juga sebenarnya adalah untuk menyertai program-program yang disediakan Jabatan Pembangunan Wanita bagi mengubah kehidupan diri dan keluarga. Malah kebanyakannya juga adalah untuk berbincang mengenai tuntutan nafkah, bantuan kewangan, harta pusaka dan sebagainya. Kita hanya bertindak sebagai pemudah cara dan akan merujuk kepada jabatan-jabatan yang berkenaan untuk menyelesaikan permasalahan mereka.

Bagaimana keganasan rumah tangga boleh berlaku?

Srihartini: Kebiasaannya keganasan rumah tangga boleh berlaku dalam tiga tahap iaitu melibatkan peningkatan tekanan yang membawa kepada bermulanya dengan perselisihan faham, permulaan kepada insiden keganasan iaitu si suami tidak dapat mengawal kemarahan, dan keganasan rumah tangga ialah melibatkan penyesalan.

Apakah punca-punca keganasan rumah tangga?

Srihartini: Ramai dalam kalangan golongan wanita boleh mudah menjadi mangsa keganasan kerana kebiasaannya mereka kurang kesedaran tentang hak-hak mereka terutama dalam aspek agama dan undang-undang. Malah jika seseorang isteri itu tidak bekerja atau tidak ada pendapatan sendiri menyebabkan berlakunya pergantungan 100 peratus kepada suami sekali gus mengakibatkan mereka takut hilangnya tempat untuk bergantung. Masalah rumah tangga bukan sesuatu yang mudah untuk diterima orang ramai. Walau bagaimanapun ada juga sesetengah golongan wanita yang begitu mudah termakan pujuk rayu dan janji manis pasangan menyebabkan mereka hanya mendiamkan diri.

Jika menjadi mangsa keganasan, apa yang perlu dilakukan?

Srihartini: Pada peringkat permulaan seseorang wanita itu perlu tahu di mana tahap keganasan yang mereka alami. Jika pada tahap tidak serius, mereka terlebih dahulu perlu mengenal pasti punca berlakunya keganasan rumah tangga, setelah itu cuba berbincang secara baik dengan pasangan. Seterusnya mereka boleh mendapatkan bantuan khidmat kaunseling. Bagaimanapun, jika seseorang wanita itu telah berada di tahap yang serius, mereka perlu melaporkannya kepada pihak polis. Malah mereka perlu pastikan telah mendapat rawatan doktor jika berlaku sebarang kecederaan atau pergi ke Pusat Khidmat Sepadu (One-Stop Crisis Centre). Mereka juga perlu laporkan kepada JKM untuk mendapatkan Perintah Interim (IPO) atau Perintah Perlindungan (PO). Dapatkan khidmat nasihat daripada Jabatan Agama Islam atau Tribunal Perkahwinan untuk menentukan status perkahwinan mereka. Bahkan sekiranya ingin mendapatkan maklumat lanjut mereka boleh menghubungi Bahagian Bimbingan dan Kaunseling JPW.

Mengapa keganasan rumah tangga perlu dibendung?

Srihartini: Masalah berkenaan adalah satu perkara serius jika ia dibiarkan begitu tanpa sebarang jalan penyelesaian. Ia perlu dibendung sejak di peringkat awal agar dapat mengurangkan masalah jenayah. Pencegahan awal mampu mengurangkan tekanan fizikal, mental dan spiritual.

Bagaimana untuk kita menangani masalah keganasan rumah tangga?

Srihartini: Untuk mengelak diri daripada terlibat dengan permasalahan ini seseorang itu perlu menjalani kehidupan yang harmoni dan sentiasa memupuk kasih sayang antara satu sama lain. Pasangan juga perlu menerima kekuatan dan kekurangan antara satu sama lain dan sama-sama cuba memperbaiki kekurangan diri. Walau bagaimanapun, adalah lebih baik jika pasangan sentiasa mengamalkan perbincangan setiap kali menghadapi masalah dan mencari penyelesaian secara harmoni. Pasangan juga perlu sedar tanggungjawab masing-masing dan mengetahui hak-hak mereka dari sudut agama serta undang-undang.

Nasihat kepada golongan wanita?

Srihartini: Sebagai seorang wanita tidak kira sama ada kita bekerja atau tidak, perlu tahu hak-hak yang kita miliki. Malah dalam dunia semakin moden hari ini adalah lebih baik jika golongan wanita mempunyai duit poket sendiri supaya tidak terlalu bergantung dengan suami. Keadaan tersebut sebenarnya adalah sebagai persediaan awal sebelum sebarang kemungkinan boleh berlaku. Walaupun tidak mempunyai pelajaran tinggi seseorang wanita itu sebenarnya boleh menjana pendapatan sendiri di rumah. Mereka boleh siapkan diri dengan pelbagai kemahiran agar ia dapat membantu meningkatkan keyakinan seterusnya berusia sendiri. Tidak ada yang mustahil tetapi yang penting ialah mereka perlu berani bertindak dan mahu mengubah nasib diri.

Terbitan: Sinar Harian

Tinggalkan komen


  • Tiada
  • No comments yet

Kategori